fbpx

Blog & Articles

Dasar babitkan sumber manusia, modal insan diteliti semula

Dasar babitkan sumber manusia, modal insan diteliti semula

Oleh Zanariah Abd Mutalib – Ogos 22, 2022 @ 5:25pm zanariah_mutalib@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneliti semula dasar membabitkan sumber manusia dan modal insan di semua kementerian berkaitan secara menyeluruh bagi menangani cabaran pasaran buruh.

Perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Mesyuarat membincangkan dua perkara utama, iaitu berkaitan teknologi maju dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan pasaran.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat mengambil maklum mengenai cabaran dan situasi semasa berkaitan bakat sedia ada berdasarkan keperluan industri.

“Negara berdepan cabaran dalam mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengekalkan serta menarik bakat berkemahiran, selain saingan negara maju yang menawarkan gaji lebih tinggi untuk menarik bakat berkemahiran ke sektor berpotensi tinggi.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara bergerak maju ke hadapan, seiring perubahan teknologi dan memenuhi keperluan semasa pasaran buruh bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat bersetuju dengan cadangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya langkah intervensi diambil bagi meningkatkan kedudukan Malaysia antara 20 negara teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global.

Tegasnya, ia selari dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Kerajaan komited menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

“Ia berpaksikan penerimagunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan, selain berusaha membangunkan bakat masa hadapan bagi pertumbuhan inklusif dan mampan,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/991580/dasar-babitkan-sumber-manusia-modal-insan-diteliti-semula

Search
Recent Post

Related Posts