fbpx

Blog & Articles

Pengambilan pekerja asing mulai Jumaat

Pengambilan pekerja asing mulai Jumaat

Ogos 16, 2022 @ 10:46pm

KUALA LUMPUR: Permohonan bagi pengambilan pekerja warga asing tidak lagi dibekukan bermula Jumaat ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata walaupun dihentikan sementara sebelum ini, keputusan baharu itu dibuat selepas mengambil kira permintaan pihak industri.

“Saya telah putuskan untuk luluskan (permintaan industri), jadi tiada pembekuan lagi. Kita terima proses permohonan baharu mulai Jumaat.

“Kita juga bersetuju semua permohonan yang diterima berhubung pengambilan 400,000 pekerja asing sebelum ini diteruskan sebelum hujung bulan,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama persatuan perniagaan di Wisma HRD Corp di sini, hari ini.

Saravanan berkata, bagi memahami isu pekerja asing dengan lebih baik, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa khas membabitkan 15 ahli daripada industri dan lima wakil Kementerian Sumber Manusia.

“Jawatankuasa ini akan mengadakan perbincangan segera apabila perlu, sebab kita perlu membantu mereka (industri) untuk pulihkan ekonomi.

“Hari ini, kita lihat kadar pengangguran dah mulai turun dan ini perkara yang baik. Oleh itu, kalau kita bantu pihak industri, mungkin kita akan dapat mengatasinya dengan lebih baik,” katanya.

Mengenai permintaan pihak industri untuk menangguhkan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam, Saravanan berkata ia perlu dibincangkan bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kabinet.

“Ada dua jenis maklum balas diterima berhubung pindaan ini iaitu dari sudut pandangan pekerja, mereka minta kita (KSM) mempercepat pelaksanaan untuk 15 juta pekerja.

“Apabila kita bincang dengan pihak industri, mereka minta kita tangguhkan kerana baru pulih daripada kelembapan ekonomi. Saya faham permintaan kedua-dua pihak, maka kita akan bincang, buat sesuatu (keputusan) yang terbaik,” katanya.

Pindaan ke atas Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam itu akan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Di bawah peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuk bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik COVID-19.

Pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja dan memberi kelonggaran dalam waktu kerja selaras Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). – BERNAMA

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/989302/pengambilan-pekerja-asing-mulai-jumaat

Search
Recent Post

Related Posts