fbpx

Blog & Articles

Segerakan kemasukan 60,000 pekerja asing sektor perladangan yang tertangguh

Segerakan kemasukan 60,000 pekerja asing sektor perladangan yang tertangguh

Oleh Ahmad Suhael Adnan – Ogos 21, 2022 @ 2:21pm ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) digesa menyegerakan kemasukan kira-kira 60,000 pekerja asing yang tertangguh sejak tahun lalu untuk sektor perladangan, yang terus bergelut dengan isu kekurangan tenaga kerja kritikal sejak COVID-19 melanda.

Presiden Pergabungan Persatuan Peladang (ISP), Datuk Daud Amatzin, berkata sektor memerlukan sekurang-kurangnya 120,000 pekerja asing daripada kira-kira 570,000 tenaga kerja di ladang sawit.

Bagaimanapun, katanya, daripada 60,000 kemasukan pekerja asing yang diluluskan tahun lalu, tiada seorang pun yang sudah masuk ke Malaysia setakat ini, menyebabkan peladang besar dan pekebun kecil sawit terus berdepan kerugian.

“Nisbah keperluan tenaga kerja sektor perladangan adalah 1:10, iaitu seorang pekerja bagi setiap 10 hektar ladang sawit, dengan jumlah keseluruhan pekerja diperlukan kira-kira 570,000 bagi 5.7 hektar ladang sawit di seluruh negara.

“Daripada jumlah ini, jika kerajaan luluskan 120,000 pekerja asing pun kita sudah gembira, kerana bukan tiada rakyat tempatan yang bekerja di ladang sawit tetapi jumlahnya tidak cukup.

“Kekurangan tenaga kerja yang kritikal ini menyebabkan tempoh tuaian buah sawit juga bertambah daripada kebiasaan 10 hari, kepada 30 hingga 40 hari ketika ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, pihaknya memutuskan untuk menamatkan pembekuan permohonan bagi pengambilan pekerja warga asing bermula Jumaat lalu, selaras permintaan pihak industri.

Selain itu, beliau juga memaklumkan KSM bersetuju supaya semua permohonan yang diterima berhubung pengambilan 400,000 pekerja asing sebelum ini, diteruskan sebelum hujung bulan ini.

Mengulas langkah itu, Daud berharap komitmen dan janji KSM itu disusuli dengan pelaksanaan bagi membantu peladang dan pekebun kecil sawit yang terkesan.

Sekiranya isu kekurangan tenaga kerja yang kritikal itu tidak diatasi, katanya, peladang sawit, khususnya pekebun kecil terpaksa menanggung lonjakan kos jangka panjang.

Ini kerana apabila tempoh tuaian buah tandan segar sawit menjadi lebih panjang, kos operasi dan pengurusan meningkat kesan buah sawit menjadi bantut dan busuk di atas pokok.

“Apabila buah terbiar di pokok, ia mengundang makhluk perosak seperti serangga dan tikus, menyebabkan kita perlu menambah kos untuk kawalan makhluk perosak yang agak mahal,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/991056/segerakan-kemasukan-60000-pekerja-asing-sektor-perladangan-yang

Search
Recent Post

Related Posts