fbpx

Blog & Articles

Tawar lebih banyak faedah, tarik bakat tempatan khidmat dalam negara, kerajaan digesa

Tawar lebih banyak faedah, tarik bakat tempatan khidmat dalam negara, kerajaan digesa

Danial Azhar – August 30, 2022 8:00 AM

PETALING JAYA: Syarikat Malaysia dinasihatkan menyemak semula syarat pekerjaan mereka untuk menarik bakat tempatan kembali berkhidmat dalam negara.

Perunding sumber manusia, Srithren Krishnan berkata, syarikat tempatan harus menilai semula syarat, kelebihan dan faedah kontrak pekerjaan yang ditawarkan kepada bakal pekerja.

“Satu cara untuk menarik pekerja mahir adalah membayar mereka dalam dolar AS. Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara mungkin enggan menerima gaji dalam ringgit kerana mata wang itu terus menyusut berbanding dolar AS,” katanya kepada FMT Business.

Srithren berkata, rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi cenderung mencari rezeki di luar negara kerana syarikat di luar negara menawarkan gaji dalam mata wang lebih kukuh, seperti dolar AS.

Kerajaan sedar rakyat yang berkemahiran tinggi enggan pulang ke tanah air untuk berkhidmat kepada negara.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengkaji semula semua dasar melibatkan sumber manusia dan modal insan dalam usaha mengekalkan serta menarik bakat mahir ke pasaran kerja tempatan.

Beliau berkata, Majlis Tindakan Ekonomi mengakui selain berdepan cabaran dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, negara juga berdepan saingan dengan negara maju yang menawarkan gaji lebih tinggi untuk menarik bakat mahir.

Srithren, yang juga perunding di firma pembangunan modal insan K-Pintar, menegaskan mata wang kukuh hanya sebahagian daripada sebab bakat tempatan berhijrah ke luar negara.

“Ada beberapa faktor lain. Contohnya, sebilangan rakyat Malaysia berkemahiran tinggi mendapati mereka tidak dapat mengaplikasikan kepakaran yang mereka perolehi dari luar negara di negara ini.

“Pekerja ini sudah biasa menggunakan teknologi canggih di luar negara, tetapi apabila dibawa balik bekerja di Malaysia, 3/4 daripada pengetahuan mereka tidak boleh digunakan kerana standard lebih rendah.”

Srithren berkata, terdapat juga kekurangan peluang untuk pekerja mahir menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta kerja inovatif berikutan banyak syarikat Malaysia memperoleh teknologi sedia ada dari negara maju.

Pekerja mahir bimbang mereka akan kehilangan kepakaran mereka dari semasa ke semasa, jika pekerjaan mereka tidak memerlukan inovasi dan kreativiti. Dengan ketidakupayaan mengaplikasikan kemahiran mereka dan tiada kemajuan kerjaya yang jelas, kebanyakan mereka yang pulang ini cenderung meninggalkan negara dalam tempoh beberapa tahun, katanya.

Beliau menyeru industri tempatan mengembangkan penyelidikan dan pembangunan serta mengamalkan amalan revolusi perindustrian keempat untuk menggunakan kepakaran bakat tempatan yang berkemahiran tinggi dengan lebih baik.

Katanya, syarikat tempatan juga harus menawarkan kelebihan dan faedah lebih menarik, seperti elaun pendidikan untuk pekerja menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa swasta, bagi memberi insentif kepada bakat tempatan untuk kembali.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia, Shaun Cheah berkata, pekerja mempertimbangkan kualiti hidup, masa depan anak mereka, kemajuan kerjaya dan akses kepada peluang sebelum menerima pekerjaan.

Beliau berkata, syarikat perlu menangani semua faktor itu bagi menarik bakat tempatan mahir pulang ke negara ini.

Source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/30/tawar-lebih-banyak-faedah-tarik-bakat-tempatan-khidmat-dalam-negara-kerajaan-digesa/

Search
Recent Post

Related Posts