Blog & Articles

Bawa masuk dahulu kuota pekerja asing sudah diluluskan – KSM

Bawa masuk dahulu kuota pekerja asing sudah diluluskan – KSM

Oleh Noor Atiqah Sulaiman – Ogos 30, 2022 @ 11:54am bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Majikan yang mendapat kuota kurang daripada jumlah dimohon digesa untuk membawa masuk terlebih dahulu pekerja asing berdasarkan kelulusan diberikan sebelum membuat permohonan baharu.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, permohonan semula majikan yang sudah mendapatkan kuota itu antara punca pihaknya menerima banyak permohonan selepas pembukaan semula permohonan pekerja asing.

“KSM mengambil maklum mengenai isu majikan berbaris panjang untuk mendapatkan slot temuduga, ingin dijelaskan bahawa sesi temuduga semalam membabitkan seramai 300 majikan yang terdiri daripada 150 majikan secara ‘walk-in’ dan 150 majikan yang sudah mendapat temujanji awal.

“KSM amat prihatin dengan insiden kesesakan yang berlaku semalam dan mengambil inisiatif memberikan nombor janji temu temuduga lebih awal bagi sesi temuduga pada 30 Ogos 2022 (Selasa), 1 September (Khamis) dan 2 September 2022 (Jumaat) kepada majikan yang tidak dapat slot temuduga semalam.

“Tiada sebarang janji temu untuk sesi temuduga pada 31 Ogos 2022 berikutan cuti Hari Kebangsaan. Justeru, hanya syarikat yang sudah mendapat nombor janji temu sahaja dibenarkan untuk menghadiri sesi temuduga mengikut tarikh yang tertera di nombor temujanji berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan sistem bernombor yang dilakukan oleh KSM bagi sesi temuduga pengambilan pekerja asing menyusahkan majikan.

Malah majikan yang hadir sejak awal pagi itu juga perlu beratur panjang dan melalui beberapa proses sebelum dibenarkan mengambil nombor giliran dan temu duga.

Bagi mendapatkan nombor giliran itu, majikan perlu beratur bagi mendapatkan pas masuk di balai pengawal sebelum beratur sekali lagi untuk mendapatkan nombor giliran.

Selepas itu, majikan yang berjaya mendapatkan nombor giliran perlu beratur di pintu masuk kementerian untuk proses temuduga, manakala mereka yang gagal memperoleh nombor perlu hadir keesokan hari dan melalui proses sama.

Dalam pada itu, KSM berkata pihaknya akan berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pelanggan khususnya kepada majikan dan industri serta mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan penambahbaikan.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/994478/bawa-masuk-dahulu-kuota-pekerja-asing-sudah-diluluskan-ksm

Related Posts